Saturday, May 10, 2014

Sunnah jelah...

”...Berpada-padalah dengan Sunnah Nabi s.a.w...”

Assalamualaikum...”...Berpada-padalah dengan Sunnah Nabi s.a.w...”itulah bunyinya ungkapan saya dalam satu siri kuliah di sebuah masjid. Kelihatan ada jamaah yang kelihatan mengangguk-aggukkan kepala dan ada pula yang seakan-akan buat-buat faham dan buat muka “confius”...Beginilah tuan-tuan dan puan-puan, Baginda Nabi s.a.w diutuskan sebagai Rahmat keseluruh alam. Ramai para ustaz dan ustazah yang menghuraikan:
وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين

Surah al-Anbiya’ [21]: 107).  (Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam).”

Tetapi tuan-tuan Nampak tak yang Nabi ni Rahmat??? Ujar saya lagi. Kelihatan ada jamaah yang pejamkan mata seakan-akan nak bayangkan rahmatnya Baginda Nabi s.a.w. Sesuatu yang amat pasti adalah Baginda Nabi s.a.w adalah rahmat. Rahmatnya Baginda Nabi s.a.w tidak akan dapat kita rasai sehinggalah kita yakin dan percaya apa yang dibawa oleh Baginda s.a.w adalah sesuatu yang amat ajaib dan terbaik. Saya mengasak lagi jamaah dengan soalan. Tuan-tuan pernah tak rasa yang sunnah Nabi ni ajaib??? Kelihatan ada jamaah yang wajahnya bertambah “confius”. Pada hemat saya mereka “confius” kerana ada pelbagai sebab diantaranya:

1.      Maklumat berkenaan sunnah yang dimiliki mungkin terlalu sedikit.

2.      Jumlah majlis membaca dan menghuraikan Hadis yang merujuk kepada kutub sittah dan seumpanya tidak begitu meriah jika dibandingkan dengan majlis-majlis ilmu yang lain. Contoh: kelihatan ada tempat yang mempunyai majlis ilmu tajwid khusus lebih dari sekali dalam seminggu dan akhirnya ajk masjid terlupa ruang untuk majlis memahami hadis sahih dan sunnah Baginda s.a.w.  

3.      Sunnah yang mereka fahami mungkin adalah “sunnat” Contoh: “Oh ni tak perlu nak buat sungguh-sungguh kan sunat je”.

4.       Para asatizah yang hadir ke Masjid mungkin tidak mempromosikan sunnah secara tepat, terperinci dan bersungguh-sungguh. Mungkin ada yang mempromosikan “barang sunnah” untuk tujuan Bisnes.

5.      Tiada usaha bersungguh-sungguh yang dibuat untuk mempromosikan sunnah berteraskan hadis yang sahih jika dibandingkan dengan kesungguhan mempromosikan majlis menyayikan “lagu-lagu” memuji Nabi s.a.w.
6.       Para ustaz “promoter” sunnah sering di pandang sinis dan mengelirukan. Bahkan mungkin dilabel pelbagai gelar yang “negatif”.

Ini mungkin sebahagian dari sebab-sebab yang membuatkan para jamaah masjid, surau dan seumpamanya kelihatan tiada jawapan apabila soalan sebegini ditanya berkali-kali:  “ tuan-tuan Nampak tak yang Nabi ni Rahmat???”, “Tuan-tuan pernah tak rasa yang sunnah Nabi ni ajaib???”, “tuan-tuan tau tak yang Ramai non-Muslim masuk Islam kerana melihat kehebatan amalan Rasulullah???”, “tuan-tuan rasa tak yang sunnah Nabi ni memberi banyak manfaat pada kehidupan manusia???.








Rahmatnya Baginda s.a.w.

Rahmat ini secara kefahamannya dapat diteliti sebagaimana berikut:





الرَّحْمة: الرِّقَّةُ والتَّعَطُّفُ

Rahmat ialah kelembutan yang berpadu dengan rasa iba (Lihat : Lisaanul Arab, Ibnul Mandzur). Rahmat juga boleh difahami sebagai kasih sayang. Diutuskan Nabi s.a.w adalah bentuk kasih sayang Allah kepada seluruh manusia. Ini kerana tanda kasih saying Allah adalah apa sahaja yang dipilih oleh Baginda untuk dijadikan sunnahnya terbukti memberi kebaikan yang besar kepada manusia.

Imam Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin Mahmud al-Maturidi berpandangan rahmat yang dimaksud mempunyai beberapa pengertian diantaranya:

1.Mengakhirkan adzab dari mereka.

2.Nabi s.a.w adalah rahmat, sehingga bagi mereka yang mentaati dan mengikutinya, maka mereka akan selamat di dunia dan akhirat.

3. Syafaat atau pertolongan (syafa’at ‘udzma) Baginda s.a.w untuk para pelaku dosa besar kelak di akhirat dan mungkin masih banyak pengertian yang lain. Lihat: (Takwilatu ahli al-sunnah VII/384)

Manakala Imam al-Mawardi menjelaskan bahwa rahmat tersebut berbentuk menyelamatkan mereka dari kebodohan, menunjukkan jalan untuk menjahui kesesatan, mencegah kemaksiatan dan menuntun pada ketaatan. Lihat: (Ahkam al-Sulthaniyah h. 277).

Rahmat juga dapat difahami dalam dua hal iaitu rahmat bagi agama dan dunia. Rahmat Baginda s.a.w dalam agama iaitu Baginda s.a.w diutus kepada manusia yang berada dalam kebodohan dan kesesatan, ketika itu para kafir ahli kitab dalam masa kebodohan dan kesesatan. Ini dapat dilihat dari gaya hidup seharian mereka. Sebagai contoh: Bangsa Arab tidak mengetahui apakah alat yang terbaik untuk digunakan untuk bersuci. Maka Baginda s.a.w datang memilih dan menunjukkan apakah bahan yang terbaik untuk digunakan untuk bersuci. Seperti menggunakan “siwak”, berkumur-kumur, wuduk dan sebagainya. Jelas sehingga kehari ini kesemua itu dapat memberikan kebaikan kepada manusia dan dapat dibuktikan secara sainstifik.

Motivasi mengikut Sunnah.




Pahala Besar Bagi Orang Yang Berpegang Teguh Dengan Sunnah Rasulullah sa.w. Abdullah bin Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w  bersabda:“Sesungguhnya di belakang kalian ada hari-hari kesabaran, kesabaran di hari itu seperti menggenggam bara api, bagi yang beramal (dengan Sunnah Nabi) pada saat itu akan mendapatkan pahala lima puluh.” Ada seseorang yang bertanya: “Lima puluh dari mereka, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Pahala lima puluh dari kalian.” (Sahih, Abu Dawud dan Al- Tirmidhi, lihat: Silsilah As- Sahihah, no. 494)





Al Imam Ibnu Qudamah rahimahullah berkata: “Dalam mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w terdapat keberkatan dalam mengikuti syari’at, meraih keredhoan Allah s.w.t, meninggikan darjat, mententeramkan hati, menenangkan badan, membuat marahnya syaitan, dan berjalan di atas jalan yang lurus.” Lihat: (Dharuratul Ihtimam, h. 43).
Semakin banyak sunnah yang kita cuba fahami dan lakukan maka semakin bertambah iman kita kepada Rasul s.a.w.

Al Qurthubi rahimahullah ketika menjelaskan ayat 103 surat Ali Imran menyatakan bahwa Allah s.w.t mewajibkan kepada kita agar berpegang teguh dengan kitab-Nya (Al Qur’an) dan sunnah nabi-Nya, serta merujuk kepada keduanya apabila terjadinya perselisihan. Allah s.w.t juga memerintahkan kepada kita agar bersatu di atas Al Qur’an dan As Sunnah dalam hal keyakinan dan amalan. Kaum muslimin perlu bersatu dan tidak tercerai-berai, sehingga akan meraih kemaslahatan dunia dan agama, serta selamat dari perselisihan. Lihat:( Tafsir Al Qurthubi, 4/105).





Motivasi gaya Rasulullah menyeru supaya motivasi umat Islam perlu dihalakan kepada memburu sunnah Nabi s.a.w. dan bukan sebaliknya. 

Penulis: Dr.Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri (MGR)