Wednesday, June 4, 2014

OH ORANG MASJID: NIAT PELBAGAI, YANG BENAR HANYA SATU

kredit gambar
Saya kebingungan sejak akhir-akhir ini. Entah kenapa setiap kali memulakan kuliah di masjid dan memulakan bicara, jiwa saya diganggu dengan persoalan kenapa dan mengapa para jamaah di masjid kelihatan mempunyai gaya dan cara yang berlainan dalam menyambut setiap inci perkataan yang dilantunkan kepada mereka.


Saya semakin bingung walaupun jumlah “peminat setia” saya masih tidak berubah tetapi pertambahan jumlah yang mendengar pun semakin ramai terutamanya pada separuh masa kedua sesi kuliah. 

Saya cuba membuat satu kesimpulan dari apa yang tercetus dari hati saya dan sedikit pengalaman hidup. Para jamaah yang hadir ini sebenarnya membawa pelbagai niat dan harapan. Dapat saya senaraikan diataranya:

1.       Datang ke masjid kerana Allah dan Rasul.



Meraka ini datang kerana ingin mendapat seribu satu kebaikan yang Allah janjikan untuk ahli pengimarah Masjid. Hadis di bawah ini boleh memberikan gambaran motivasi tersebut:

Nabi saw. bersabda, “Ada tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungan-Nya pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya: imam yang adil, pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah, orang yang hatinya berpaut pada masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah berkumpul dan berpisah keranaNya, lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang memiliki kedudukan dan kecantikan, maka ia mengatakan,’ Sesungguhnya aku takut kepada Allah’, orang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di nafkahkan oleh tangan kanannya, dan seseorang yang mengingat Allah dalam keadaan sepi (sendiri) lalu mengalir air matanya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah saw. bersabda, "Mahukah saya tunjukkan kepada kamu perkara-perkara yang mana dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa serta mengangkat darjat kamu?. Para sahabat menjawab: Mahu, ya Rasulullah. Beliau s.a.w. lalu bersabda: Sempurnakan wuduk sekalipun di dalam kesukaran, banyakkan melangkah untuk ke masjid dan menunggu solat sesudah melakukan solat. Itulah yang disebut ribath, iaitu perjuangan menahan nafsu untuk memperbanyakkan ketaatan pada Tuhan. (HR Muslim)

Rasul saw telah bersabda: “Sesiapa bersuci di rumahnya lalu pergi ke masjid untuk menunaikan solat yang telah Allah wajibkan kepadanya maka setiap langkahnya menghapus satu dosa dan langkah yang satunya mengangkat satu tingkat darajatnya.”(HR.Muslim).

Nabi saw. bersabda, “Sesiapa yang pergi menuju masjid untuk solat maka satu langkah akan menghapuskan satu kesalahan dan satu langkah lainnya akan ditulis sebagai satu kebajikan untuknya, baik ketika pergi maupun pulang.” (HR. Ahmad)

“Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan di dalam kegelapan malam menuju masjid dengan cahaya yang akan diperolehnya pada hari kiamat.” (HR. Abu Daud)

2.       Datang ke masjid kerana mencari teman atau rakan bersosial.



Pada pemerhatian saya kelihatan dikalangan jamaah masjid ada yang melebihkan perbualan sesama rakan dan “regu kamcing” berbual topik menarik dengan nada dan suara yang kuat tanpa menghiraukan orang yang sedang solat. Mereka juga tanpa segan silu bercakap dengan nada yang agak tinggi di dalam kawasan masjid sekalipun kuliah telah bermula. Hal ini agak membingungkan kerana mereka telah berada dalam kawasan taman syurga tetapi mereka lebih merelakan diri untuk berbual tanpa terkesan dengan kuliah.

3.       Datang kemasjid kerana mencari barang hilang.



Oh ya, memang ada!. Terdapat juga para jamaah yang sibuk bertanya tentang bagaimanakah untuk bertemu semula barang hilang. Mungkin jika tiada barang yang hilang jamaah ini mungkin tidak akan nampak hatta bumbung Masjid.

Imam Muslim meriwayatkan bahwa Rasulullah bersabda:

مَنْ سَمِعَ رَجُلًا يَنْشُدُ ضَالَّةً فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَقُلْ لَا رَدَّهَا اللهُ عَلَيْكَ فَإِنَّ الْمَسَاجِدَ لَمْ تُبْنَ لِهَذَا

“Barang siapa yang mendengar (perkataan dari) orang yang sedang mencari barang hilang di masjid maka katakanlah kepadanya: Semoga Allah tidak mengembalikannya kepadamu, Karena masjid itu tidak dibangun untuk (kepentingan) ini”. (Muslim, No. 568)

4.       Datang ke masjid untuk mempromosikan barang bisnes.

Ini tentu lebih parah dan malang jika yang mempromosikannya adalah terdiri dari mereka yang bergelar “tok lebai”, ustaz  dan sebagainya.
Diriwayatkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي المَسْجِدِ، فَقُولُوا: لَا أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ، وَإِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَنْشُدُ فِيهِ ضَالَّةً، فَقُولُوا: لَا رَدَّ اللَّهُ عَلَيْكَ

“Jika kamu melihat orang berjual-beli di masjid, maka katakanlah (kepada mereka), “Semoga Allah tidak memberi keuntungan di atas perniagaan kamu.” Dan apabila kamu melihat orang membuat pengumuman barang hilang di dalam masjid, maka katakanlah, “Semoga Allah tidak mengembalikannya kepada kamu.”.”

Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, bab: Larangan berniaga di masjid, no. 1321.Kata beliau, hadis ini hasan gharib. Demikian juga Syaikh Muqbil, beliau menghasankannya dalam al-Jaami’ ash-Shahih mimma laisa fish-Shahihain, no. 1438.

5.       Datang kemasjid untuk mendapatkan pengaruh.

Ini juga satu musibah kepada agama. Masjid didirikan bukan atas maksud untuk mempopularkan seseorang. Masjid adalah tempat untuk kita dekat kepada Allah, meningkatkan penguasaan ilmu berkenaan urusan agama (kefahaman al-Quran dan as-Sunnah). Jika sekiranya datang kemasjid untuk tujuan mencari pengaruh politik dan peluang memperluaskan agenda yang pelbagai. Nasihat saya lupakanlah niat tersebut. Ini kerana masjid bukanlah tempatnya.

Sewajarnya masjid melahirkan para duat yang akan membawa rahmat keseluruh alam dengan kefahaman yang sahih. Bukanlah untuk membawa agenda tertentu yang amat sempit.

Semoga Allah menjadikan kita geng masjid yang hadir kerana Allah dan Rasul bukan dengan niat-niat yang lain. Wallahu’alam..

 

3 comments:

  1. Pekongsian yg menarik. Hrp ustaz dpt post lbh bnyk lg ilmu2 kat sini =)

    ReplyDelete
  2. Sangat bermanfaat. ini sememangnya fenomena, keluarga saya juga beberapa kali kecewa apablla menumpang solat di masjid atau surau ketika membuat perjalanan apabila jemaah sesudah solat berkumpul dan bersembang kuat soal duniawi malah ada yg lebih parah bercakap keburukan si anu dan si anu. Semoga Allah memberi keinsafan buat mereka.
    1. Adakah alasan jahil maka mereka bersikap begitu, boleh ustaz cerahkan?
    2. Boleh dikatakn setiap ustaz yg berceramah di masjid qaryah saya akan mempromosikan buku, brgn makanan, atau meminta sumbangan utk sekolah agama mereka, adakah ini diperbolehkan? jika tidak bagaimana situasi yg ideal utk golongan ini melakukan hal2 tersebut ?

    ReplyDelete