Tuesday, November 11, 2014

ANTARA TEGURAN WARDINA DAN “TINDAKBALAS DUA DATO"

Wa Allah a’lam tulisan ini hanya sekadar cetusaan dari MGR untuk menilai dan sekadar memberikan buah pandangan untuk kita sebagai umat Islam memposisikan diri diantara kehendak al-Quran dan Sunnah terhadap sesuatu isu. Ini hanyalah tulisan santai untuk kita sama-sama merehatkan minda. Maaf sekiranya tidak ilmiah.

MGR selalu menjadikan “satu soalan keramat”  yang akan berlegar di benak sanubari apabila ada satu isu yang berlegar ditengah-tengah masyarakat. Sama ada ia bersifat politik, agama, sosial, hiburan dan sebagainya.

Persoalan itu adalah : “JIKA RASULULLAH ADA DISANA APAKAH REAKSI BAGINDA???

Allah.. MGR amat berharap agar para pembaca yang budiman jugak akan bertanya soalan yang sama. Coretan ringkas ini bukanlah untuk menilai apa yang ada didalam hati yang menegur atau yang ditegur. Tetapi ia adalah sekadar untuk kita sama-sama menjadikan isu ini sebagai sesuatu yang boleh dipelajari dan meningkatkan rasa tanggungjawap kepada Agama. Kita mahu  menjadi umat Nabi s.a.w yang melakukan sesuatu bukan kerana ada “udang disebalik mee” atau ada kepentingan peribadi tetapi lebih kepada “ta’awanu ala al-Birri” (bertolong bantu dalam mempromosikan kebaikan).

JAWAPAN...

 “JIKA RASULULLAH ADA DISANA APAKAH REAKSI BAGINDA??? Jawapan-jawapan untuk setiap isu itu kadangkala tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah tanggapan atau pasti. Setiap jawapan tersebut perlu diperhalusi dan diteliti sebaik mungkin berteraskan “Iqamatul Hujjah” (berpijak diatas dalil). Jika ada nasnya maka legalah rasa hati, jika tiada, maka lidah dan jari perlu berhati-hati.

Firman Allah:

"Dan janganlah kamu menurut sesuatu yang tiada dalam pengetahuan (ilmu). Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati semuanya kelak pasti akan dimintai tanggung jawabnya" - (Isra':36)

GANGSTER DAN FILEM.




                                                                       kredit foto

Kebanjiran filem baik dari Barat mahupun Timur yang memiliki rentak gaya penceritaan diatas nama “Aksi” dengan menampilkan aksi gangster adalah amat mencemaskan. Sekalipun babak-babak tersebut telah melepasi saringan penapisan Filem. Apakah tidak cemas ini kerana setiap kali babak-babak gangster itu ditonton, pasti sahaja anak kecil berusia empat tahun akan meniru aksi tersebut!!! Pasti saja adik dan abang akan bergusti diatas katil sebelum tidur!!!. Untuk menafikan ia tiada kesan dan tanpa kajian mungkin boleh dipertikaikan. Tetapi sekadar menamakan beberapa ulasan yang dapat ditemui dialam siber secara mudah terdapat beberapa tulisan yang menarik untuk kita renungkan yang ditulis oleh mereka yang prihatin.

Diataranya web Cigku Azleeen.com, menyatakan:

Anyway, melalui pencarian saya di internet saya mendapati bahawa American Academy Of Pediatrics (Pediatriks ini adalah pakar kanak-kanak, rasanyalah..) menyarankan bahawa bayi dan kanak-kanak berusia 0 hingga 2 tahun tidak harus menonton TV sama sekali. Dan mereka yang berusia lebih dari 2 tahun hanya menonton antara 1 -2 jam sahaja rancangan TV yang berkualiti. 2 tahun pertama kehidupan kita ini adalah tempoh kritikal bagi perkembangan otak @ minda. Oleh itu, TV mahupun gajet-gajet elektronik lainnya boleh mengganggu proses eksplorasi, bermain dan berinteraksi dengan ibu bapa serta objek-objek lain yang meransang pembelajaran dan perkembangan fizikal dan sosial secara sihat.Apabila kanak-kanak semakin berusia (dewasa), masa menonton tv yang terlalu banyak akan menghalang mereka dari aktif secara fizikal (asyik duduk depan TV jer kan), membaca, buat kerja rumah, bermain dengan rakan sebaya dan juga meluangkan masa dengan keluarga.Secara purata, remaja Amerika telah menonton sekurang-kurangnya 200,000 babak ganas dan kejam melalui TV apabila mereka berumur 18 tahun. Bayangkan banyak mana tuh?Nah, jangan cakap itu di Amerika, kita di Malaysia ni lain. Jangan harap. Filem-filem dan drama Melayu sekrang ni pun banyak menayangkan aksi-aksi seram ganas dan kejam, sehingga naik mual saya nak tengok.Kekejaman dalam TV seringkali menuntut penonton untuk meniru aksinya. Walaupun kadang-kadang ada yang kata “Jangan tiru aksi ini di rumah”.. Hehehe.. Sudah resam manusia semakin dikata jangan, itulah yang hendak dilakukan.Kebanyakan aksi ganas dan kejam dalam TV ini pula dilakukan oleh hero-hero rancangan tersebut. Nah, bagaimanalah kanak-kanak tak terikut-ikut?Walaupun sebagai ibu bapa kita memberitahu anak-anak bahawa tidak baik untuk memukul orang lain, TV kata ianya OK untuk pukul, gigit, tendang jika kita adalah “geng baik”. Keadaan ini menimbulkan kekeliruan pada kanak-kanak.Dan lebih lebih lagi, dalam kebanyakan rancangan TV jarang ditunjukkan bahawa geng jahat ini menerima hukuman atau balasan atas kejahatan mereka.Bersikap kejam hanyalah satu dari kesan psikologi menonton TV terhadap kanak-kanak. Ada banyak lagi kesan lain yang akan saya bincangkan di lain hari...”

Ini hanya satu blog dan banyak lagi blog-blog lain yang menulis dengan nada risau berkenaan cerita “gangster”. Bahkan, Profesor Dr Hussain Habil Mohamad Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menyatakan  “Pengamatan mendapati pengaruh filem atau drama ganas dipaparkan di televisyen turut menyumbang berlaku kes jenayah. Kesannya, “eksperimen dijalankan adalah dengan membalas terhadap rakan sekelas,”. Jelas filem-filem tersebut memberi faedah mungkin sekadar menghibur para penonton dewasa tetapi ia menjahanamkan penonton muda!!!



TEGURAN PRIHATIN VS TEGURAN BERKEPENTINGAN

MGR melihat teguran Puan Wardiana Safiyyah itu asasnya adalah kerisauan seorang ibu terhadap masa depan anak-anaknya. Pada hemat MGR kerisauan ini perlu ada pada ibu-ibu yang sayangkan iman dan akhlak pewaris zuriat masing-masing. Kita mungkin boleh berkata: kawallah anak semasa menonton TV!!! Ya mudah berkata tetapi berdasarkan pengalaman MGR dan teman-teman yang lain ia amat SUKAR...ye AMAT SUKAR...hanya pada Allah sahaja kita memohon agar kesukaran ini dipermudahkan. Perhatikan Hadis ini:

Dari Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda, "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya." - Sahih Bukhari 6018

PARA PEMBIKIN FILEM TAKUTLAH KEPADA ALLAH...

Sesiapa sahaja yang membuat pelaburan pasti mahukan keuntungan. Begitu jugalah para pembikin filem. MGR tidak menafikan fitrah mahukan untung, untung dan terus untung. Para pembikin filem barat tidak memiliki iman, tetapi kita memiliki Agama. Mana mungkin kita beragama melakukan dan berfikir seperti mereka yang tidak beragama???  Sesuatu yang perlu diingat apalah nilainya kita untung mungkin sejuta dua tetapi kita menyumbang sesuatu yang menjahanamkan anak-anak kecil yang mudah menyerap apa sahaja. Bahkan ia akan menjadi saham akhirat kita. Ada benarnya teori Albert Bandura (1925-?) (kadang-kadang kita lebih percaya teori Barat melebih Al-Quran dan Sunnah) dalam Modelling Theory: The Basis of Observational Learning “BoBo Doll Studies”.. kata Bandura “ Virtually every phenomenon that occurs by direct experience can occur vicariously as well – by observing other people and the consequences for them”. Ringkasnya teori ini telah memberi kesimpulan bahawa kanak-kanak akan terkesan dengan apa yang mereka lihat terutamanya Televisyen!!!. 


FILEM GANGSTER UNTUK PENGAJARAN?

                                                                 kredit foto

Meletakkan dan memperjuangkan filem ganster sebagai salah satu cara Dakwah adalah sama sekali tidak menepati kehendak al-Quran Dan Sunnah. Alasan filem tersebut untuk memberi tahu masyarakat jangan tiru, jangan buat, dan seribu jangan lagi adalah amat tersasar. Bahkan dihujung filem disertakan Dalil, Nas dan peringatan untuk para penonton supaya JANGAN TIRU AKSI INI DIRUMAH adalah tagline yang diimport dari barat!!! Ia adalah Talbis Iblis (Tipu Daya Iblis). Rasulullah di zaman Baginda membenteras segala keburukan yang bersifat awam. Dimana segala maksiat dikhalayak perlu dinyahkan. Ini kerana kesemua itu seumpama sekolah tidak rasmi dan wabak yang amat merbahaya kepada masyarakat. Daripada kita tidak tahu menjadi tahu. Oh macam ni caranya nak buli...? Ya inilah kesan langsung dari filem-filem gangster dan seumpamanya. Kesan dan iktibar ada tetapi mudarat dan keburukan jauh lebih dahsyat!!!

Logiknya kenapa amalan-amalan baik tidak di promosikan dan dijadikan teras untuk membuat filem? Filem-filem bergenre “ustaz” “alim” “agama” tidak salah. Tetapi olahan dan kebijaksanaan pengarah filem amat perlu untuk dilihat menarik dan berimpak. Bahkan penerbit filem akan mendapat dua keuntungan iaitu keuntungan Dunia berbentuk material dan keuntungan bekal akhirat yang abadi. Inilah yang Allah dan Rasul ajarkan. Segala perkara baik perlu dizahirkan contohnya solat berjamaah di masjid, melakukan kebaikan-kebaikan yang sifatnya berjamaah perlu dizahirkan bahkan disyiarkan. Bila amal-amal baik tersebar dikhalayak umum. InsyaAllah masyarakat tanpa mengira usia akan merasa malu untuk melakukan keburukan. Rasionalnya, bila filem dilancarkan dan dipertontonkan adalah baik maka khalayak pasti menerima impak kebaikannya. Alasan saya tidak ke masjid, tidak buat baik depan khalayak, kerana takut riak adalah amat tidak boleh diterima. Bahkan menyalahi ruh syarak.

Perhatikan hadis ini.

Daripada dari Abu Hurairah RA katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Setiap umatku akan dimaafkan melainkan orang-orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosa (supaya diketahui oleh orang lain). Sesungguhnya antara perbuatan menunjuk-nunjuk itu ialah seseorang melakukan suatu perbuatan diwaktu malam kemudian berpagi-pagi dia bercerita sedangkan Allah telah menutupinya”, tiba-tiba dia berkata, “Wahai fulan, semalam aku telah melakukan begini dan begini”. Orang itu semalam-malaman telah ditutupi celanya oleh Allah, tetapi pagi-pagi dia membuka tutupan Allah ke atas dirinya." Riwayat: Bukhari dan Muslim

Para pembikin filem pasti mengeluh, “habis tu, semua tak boleh, so nak buat filem apa?” Allah Akbar...banyak lagi filem yang baik telah menang pelbagai anugerah hebat. Lihat saja filem Children of Haven dan lain-lain. Ingatlah menghasilkan idea kreatif untuk menghasilkan sesuatu filem yang baik adalah dari Allah yang Maha Bijaksana. Fikirkan.. 

KEMBALI KEPADA ALLAH DAN RASUL.

Pada hemat MGR teguran Pn.Wardina itu perlu disambut dengan penuh rasa hormat dan syukur oleh masyarakat Mukmin dan termasuk para penerbit filem yang takutkan Allah. Semoga Allah memberikan ganjaran yang sebaiknya atas teguran tersebut. Bila beliau diangkat sebagai ikon salah sebuah syarikat susu dengan harapan pengaruhnya itu dapat membuatkan para pembeli tertambat. Maka kerisauan dan komen beliau tentang budaya samseng dikalangan pelajar-pelajar sekolah dan kaitannya dengan filem juga perlu kita fikirkan.  Bahkan ramai ibu bapa yang memiliki idea yang sama tetapi mereka bukan ikon, maka suara mereka sekadar meniti dibibir orang biasa yang tiada impaknya. MGR ingin mengajak para penerbit filem tanpa mengira apa jua status mereka untuk kembali kepada Allah dan Rasul.

Mulalah bertindak dan gunakanlah hasil rezeki filem anda sebelum ini untuk kebaikan umat. Kerana setiap sen dan keringat yang kita laburkan selama ini tidak menjadi beban kita diakhirat kelak. Segala usaha bukan pada jalan Allah dan Rasul pasti akan mengundang kekesalan pada hari yang tiada peluang untuk kembali bertaubat. Ingat berhijrahlah sepenuhnya bukan separu-separuh. Yakinlah segala amal buat kita diatas muka bumi Allah ini adalah pelaburan kita di negeri yang abadi. InsyaAllah apa yang kita harapkan adalah pelaburan PAHALA FREE dari Allah... Satu filem yang baik menepati kehendak Allah dan Rasul ditonton oleh ribuan manusia, bayangkan, berapa banyak pahala yang para pembikin Filem dapat di alam yang kekal abadi..

Salam Hormat

Dr.Hj.Mohd Khairul Nizam Zainan Nazri MGR. 1436H  




No comments:

Post a Comment